Pengenalan

Artikel Index
Pengenalan
Objektif Projek dan Skop Kerja
Lokasi Dan Skop Projek
Foto Aerial
Semua Muka

Kawasan Bertam Kepala Batas terletak di daerah Seberang Perai Utara. Kawasan ini dikenalpasti sebagai kawasan yang sering dilanda banjir terutama pada musim hujan di antara bulan April hingga Mei dan bulan September hingga November setiap tahun.  Banjir yang paling kritikal telah berlaku pada tahun-tahun 1974, 1988, 1995, 1998, 1999 dan 2003.

Kawasan Bertam Kepala Batas ini merupakan satu kawasan yang pesat membangun. Pembangunan yang pesat ini secara positifnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup penduduk dan kawasan ini. Namum begitu, pembangunan pesat ini juga ada kesan sampingan di mana kawasan yang dulunya tanah pertanian, menjadi padat dan ini menyebabkan kapasiti dan kelajuan air larian permukaan bertambah. Di samping itu, pembangunan yang tidak dirancang menyebabkan terdapat kawasan yang menyekat laluan air dan menyebabkan banjir tempatan (localized flood).

Pad bulan Oktober 2003 terjadi satu banjir luar biasa yang direkodkan sebagai banjir yang paling besar dalam sejarah. Banjir yang besar ini menyebabkan sebahagian besar kawasan ini ditenggalami air dan membahayakan nyawa penduduk setempat. Dalam kejadian ini, Jabatan Pengairan dan saliran, Seberang Perai Utara telah merekodkan seramai 4054 orang telah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan banjir bagi kawasan ini sahaja.

Kemudahan saliran bagi sesuatu kawasan perlu seiring dengan kepesatan pembangunan bagi mengelakkan banjir berlaku. Memandangkan kawasan Bertam- Kepala Batas mengalami pembangunan pesat, dijangkakan keadaan banjir di masa akan datang akan menjadi lebih teruk lagi kerana sistem sedia ada tidak dapat menampung aliran semasa.

Bagi mengurangkan banjir di kawasan ini dan mnengurangkan implikasi banjir kepada pembangunan sosio-ekonomi dan penduduk, Rancangan Tebatan Banjir Bertam-Kepala Batas (RTB BKB) telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat  Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi  pada 12 Mac 2004.

Rancangan Tebatan Banjir Bertam-Kepala Batas ini bertujuan untuk menaiktaraf sistem perparitan di kawasan Bertam-Kepala Batas. Kawasan projek yang dicadangkan merangkumi kawasan seluas 44.3 km persegi. Penaiktarafan ini dilakukan untuk mengurangkan masalah banjir di kawasan tersebut.

Selain daripada itu Rancangan Tebatan Banjir Bertam-Kepala Batas juga menukarkan sistem pertanian kepada system saliran bandar. Peningkatarafan sistem saliran akan mengindahkan lagi kawasan yang sedang pesat membangun ini selain daripada melancarkan laluan air.

Rancangan Tebatan Banjir Bertam-Kepala Batas juga akan membahagi kawasan tadahan hujan kepada beberapa kawasan tadahan hujan baru dalam perancangan megurangkan banjir. Pembahagian kawasan baru ini akan mengecilkan kawasan  tadahan hujan seterusnya membuatkan sistem saliran lebih berkesan dengan isipadu air yang kurang.

Kos keseluruhan projek ini sebanyak RM 168,796,846.19 termasuk kos pembinaan dan kos pengambilan balik tanah. Projek ini akan mengambil masa selama 2 tahun bermula pada 22 Februari 2007 hingga 21 Februari 2009. Tempoh penyelenggaraan selama 24 bulan akan bermula sebaik sahaja tempoh pembinaan selesai.

 



Kemaskini Terakhir :Khamis 12 Julai 2012, 11:25