HomeNews Archive2007Terowong SMART diguna 7 April
  • PDF
  • Print

Utusan Malaysia, 12/03/2007

Terowong SMART diguna 7 April

KUALA LUMPUR 11 Mac – Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) yang bernilai RM1.9 bilion antara Jalan Sungai Besi dengan Jalan Ampang di sini akan mula dibuka kepada lalu lintas pada 7 April ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, pada tarikh tersebut kenderaan boleh melalui terowong itu tanpa dikenakan bayaran tol selama sebulan.

“Kita akan membuka terowong SMART mulai April ini, tetapi saya perlu berbincang dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu terlebih dahulu kerana urusan jalan dan lebuh raya terletak dalam bidang kuasa kementerian beliau,” katanya.

Azmi berkata demikian pada sidang akhbar sempena majlis Larian Terowong SMART 2007 Sempena Sambutan 75 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sini hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu sebelum ini dilaporkan berkata, terowong itu akan dibuka kepada orang ramai secara percuma selama sebulan sebelum bayaran tol yang ditentukan Kabinet, dikuatkuasakan.

Laluan itu bagaimanapun, ujarnya, akan hanya dibuka kepada kereta manakala motosikal dan kenderaan berat seperti lori dan bas dilarang menggunakan terowong tersebut.

Mengenai kadar tol yang akan dikenakan bagi penggunaan terowong itu, Azmi enggan mengulas.

Katanya, kementerian beliau menyerahkan kepada Kementerian Kerja Raya untuk menentukannya.

“Saya serahkan kepada Samy Vellu, ia bukan urusan kementerian saya,” kata beliau.

Ditanya mengenai mutu pembinaan terowong SMART, beliau secara peribadi melahirkan kekaguman terhadap kejayaan kontraktor menyiapkan projek tersebut dalam tempoh empat tahun.

Menurut Azmi, terowong SMART merupakan lambang kejayaan negara yang berjaya menerokai teknologi baru menghasilkan terowong yang boleh dilalui kenderaan dan pada masa yang sama menjadi laluan air untuk mencegah banjir.

Malah, katanya, kejayaan syarikat Malaysia menyelesaikan projek tersebut dengan cepat berbanding syarikat Jerman merupakan bukti bahawa kemampuan rakyat negara ini setanding dengan rakyat negara maju.

“Dalam tempoh 50 tahun negara merdeka, kita telah dapat membina kekuatan teknologi dan mewujudkan pakar-pakar dalam bidang ini. Kita juga mampu meneroka pasaran luar negara dalam pembinaan terowong SMART,” jelas beliau.

Panjang terowong tersebut sepanjang 9.7 kilometer tetapi laluan untuk kenderaan hanyalah 3.3 kilometer.

Mengulas mengenai isu pembinaan bangunan atau rumah yang menyebabkan pencemaran air sungai, Azmi berkata, ia perlu dinilai semula oleh pihak berkuasa.

“Kerajaan mahu mengubah pemikiran rakyat supaya melihat sungai sebagai masa depan mereka dan satu sumber hidup.Tanpa air, susah untuk manusia hidup,” katanya.

 

EKSA

 

Statistik Mod 2020

Mod 2B: 21

Mod 2: 21

Mod 3: 5

Mod 4: 1

Jumlah Mod :48

7 Oktober 2020

 

Statistics of Visitor

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday75
mod_vvisit_counterYesterday259
mod_vvisit_counterThis week852
mod_vvisit_counterLast week674
mod_vvisit_counterThis month2349
mod_vvisit_counterLast month2904
mod_vvisit_counterAll days2105619

We have: 2 guests online
Your IP: 3.21.231.245
Mozilla 5.0, 
Today: Apr 20, 2024
Free Joomla 1.5 Templates by JoomlaShine.com