• Print

Bernama, 23 Jun 2007

Operasi Laluan Air SMART Bermula, Kurangkan 45 Peratus Limpahan Banjir


KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Laluan air Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan (SMART) yang beroperasi sepenuhnya bermula hari ini, dijangka dapat mengurangkan 45 peratus daripada paras air banjir yang melimpahi ibu kota.

Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Paduka Keizrul Abdullah berkata ia bagaimanapun bergantung kepada taburan hujan di sebelah Sungai Klang sahaja.

Beliau berkata ini kerana SMART secara asasnya akan berfungsi untuk mengalirkan 90 peratus daripada limpahan air Sungai Klang yang berpunca dari ulu Sungai Klang ke kolam takungan Kampung Berembang, sebelum disalirkan menerusi SMART, ke kolam tadahan di Taman Desa.

Sebanyak 55 peratus daripada air banjir di pusat ibu kota berpunca daripada limpahan air Sungai Gombak dan Sungai Batu yang merentasi kawasan Lembah Klang, katanya.

"Secara asasnya, kita mengawal air limpahan daripada segi kuantiti terutamanya kuantiti air di Sungai Klang berdekatan Masjid Jamek (pusat bandar)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi wacana Pengurusan Banjir Lembah Klang/ Kuala Lumpur di Universiti Malaya di sini hari ini.

Beliau berkata sekiranya berlaku hujan lebat, limpahan air dari Sungai Klang akan disalirkan ke kolam tadahan Kampung Berembang sebelum disalirkan menerusi terowong SMART yang mempunyai kapasiti simpanan satu juta meter padu air, sebelum ia disalirkan ke kolam tadahan Taman Desa.

Keizrul berkata kolam takungan Kampung Berembang mempunyai kapasiti takungan air sebanyak 600,000 meter padu manakala kolam tadahan Taman Desa mempunyai kapasiti takungan air 1.4 juta meter padu.

Limpahan air itu kemudiannya dilepaskan ke Sungai Kerayong secara berperingkat.

Keizrul berkata SMART adalah sebahagian daripada Projek Tebatan Banjir di Kuala Lumpur yang diluluskan oleh kerajaan pada 2002 selain daripada pembinaan kolam takungan Batu dan Jinjang yang dijangka siap akhir tahun ini.

Beliau berkata kedua-dua kolam takungan itu akan mengurangkan limpahan air dari Sungai Batu dan Sungai Gombak daripada memasuki ibu kota. Antara langkah lain yang giat dilaksanakan ialah membesarkan Sungai Kerayong dan Sungai Damansara dan membina kolam takungan Sri Johor.

Keizrul berkata masalah banjir akibat limpahan air sungai di ibu negara akan dapat diatasi sepenuhnya apabila kedua-dua komponen dalam projek tebatan banjir itu (SMART dan kolam takungan Batu/Jinjang) siap pada awal 2008.

Beliau berkata kedua-dua projek itu juga dijangka dapat mengatasi kejadian banjir besar pada 1971 daripada berulang selain mengurangkan risiko banjir kilat akibat limpahan air.

Bagaimanapun, Keizrul berkata faktor aktiviti manusia seperti pembangunan yang tidak terancang juga penyebab kepada kejadian banjir kilat di ibu negara selain faktor sikap dan alam semula jadi.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 11 Jun mengarahkan semua projek tebatan banjir dipercepatkan ekoran banjir yang melanda ibu kota sehari sebelum itu.

Terowong air SMART, sepanjang 9.7 kilometer, yang bernilai RM1.9 bilion itu sebelum ini dijadualkan siap 30 Jun. Terowong itu juga mempunyai dwifungsi bagi lalu lintas yang dibuka kepada kenderaan ringan sejak 14 Mei lalu.

-- BERNAMA