• Cetak
There are no translations available.

Bernama, 5 September 2007

SMART Berjaya Kurangkan Banjir Kilat Di KL Isnin Lepas

 

KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan (SMART) telah terbukti berkesan dalam mengurangkan kejadian banjir kilat di ibu negara apabila berjaya mengalirkan 500,000 meter padu air ke kolam tadahan pada malam Isnin lepas, menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pengarah Projek Tebatan Banjir Kuala Lumpur JPS Ir.K.J. Abraham berkata SMART telah dimaklumkan oleh Pusat Kawalan Banjir (SCC) mengenai kenaikan paras air yang kritikal di stesen pemantuannya.

"Pusat Kawalan SMART kemudian bertindak segera melakukan prosedur menyelamat. Proses itu mengambil masa sejam sebelum terowong itu ditutup kepada lalulintas," katanya pada sidang akhbar di sini.

Abraham berkata terowong itu mengalirkan air hujan ke kolam tadahan Taman Desa pada paras selamat iaitu 29 meter di stesen pemantauan.

Katanya paras air surut di terowong pada tengah malam sebelum SMART memulakan prosedur pemeriksaan dan pembersihan sebelum terowong itu dibuka semula kepada trafik pada pukul 5 pagi hari berikutnya.

Terowong bernilai RM1.9 billion secara asasnya akan berfungsi untuk mengalirkan 90 peratus daripada limpahan air Sungai Klang yang berpunca dari ulu Sungai Klang ke kolam takungan Kampung Berembang, sebelum disalirkan menerusi SMART ke kolam tadahan di Taman Desa.

"Kolam takungan Batu dan Jinjang untuk lencongan Gombak akan beroperasi tahun depan dan kami harap ia boleh membantu mengurangkan lagi kejadian banjir kilat di bandar raya," katanya.

Terowong SMART yang mula dilaksanakan pada Januari 2003 terdiri daripada satu tingkat laluan air sejauh 9.7km dan dua tingkat laluan trafik iaitu satu laluan menghala ke pusat bandar raya dan satu lagi laluan keluar.

-- BERNAMA