• Cetak
There are no translations available.

Utusan Malaysia, 4 Jun 2007

Laluan air terowong SMART beroperasi hujung Jun

KUALA LUMPUR 3 Jun – Banjir kilat yang menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Sungai Besi ditenggelami air semalam akan dapat diatasi apabila laluan air di Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) beroperasi hujung bulan ini.

Terowong SMART yang dibuka kepada lalu lintas pada 7 April lalu dirangka dengan dwifungsi utama iaitu untuk mengatasi masalah banjir di ibu negara dan sebagai laluan trafik.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir. Keizrul Abdullah, pada masa ini komponen kedua terowong SMART yang berfungsi untuk mengatasi masalah banjir belum siap sepenuhnya.

‘‘Laluan air itu dibina untuk mengatasi banjir kilat yang sering mengganggu pusat bandar raya Kuala Lumpur dengan mengalirkan lebihan isipadu air dari Sungai Klang dan Sungai Ampang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Berikutan banjir kilat semalam, sebanyak 180 daripada 60 keluarga penduduk Kampung Sri Indah di sekitar Jalan Sungai Besi terpaksa dipindahkan.

Banjir tersebut berlaku disebabkan kegagalan sungai berhampiran menampung air berikutan hujan lebat selama dua jam.

Terowong SMART yang bernilai RM1.9 bilion dibina antara Jalan Sungai Besi dan Jalan Ampang dibuka kepada lalu lintas pada 7 April lalu bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas.

Pembinaan terowong itu juga merupakan lambang kejayaan negara yang berjaya menerokai teknologi baru menghasilkan terowong yang boleh dilalui kenderaan dan pada masa yang sama menjadi laluan air untuk mencegah banjir.

Sebagai terowong lencongan air ketika banjir kilat melanda ibu negara, ia mampu menampung sehingga tiga juta meter padu air dengan mengalihkan air dari Sungai Klang di Kampung Berembang, Ampang melalui terowong ke kolam tadahan di Taman Desa, Jalan Klang Lama dan seterusnya dilepaskan secara terkawal ke Sungai Kerayong.