Laman UtamaArkib Berita2008 SMART melukis wajah baru Kuala Lumpur
  • PDF
  • Cetak
There are no translations available.

Utusan Malaysia, 3 Nov 2008

SMART melukis wajah baru Kuala Lumpur

 

DI Sana'a, ibu negara Yemen, jika jalan raya sesak, kenderaan ringan terutama teksi yang lebih mengejar masa mempunyai alternatif -- meredah terusan yang kering kontang. Dasar terusan dibina mendatar membolehkan kenderaan melaluinya. Sudah tentu, ada jalan masuk dan jalan keluar dari terusan yang disambungkan ke rangkaian jalan raya di kota tersebut. Kadar hujan yang rendah di Yemen membolehkan terusan sentiasa bersedia sebagai jalan alternatif. Atas faktor iklim, konsep dwifungsi terusan kelihatan lebih memihak kepada kenderaan.

Di Malaysia, perbandingan yang paling hampir kepada konsep dwifungsi terusan itu ialah SMART (Stormwater Management And Road Tunnel). Banjir termasuk banjir kilat di ibu negara menyumbang kepada pembinaan terowong tersebut yang dianggap pengurusan banjir unik pada abad ini. Sebahagian daripada SMART iaitu sejauh 3km daripada 9.7km panjang keseluruhan terowong ini mempunyai dua peranan - 'lebuh raya air' dan 'lebuh raya bagi kenderaan.' Namun keutamaan SMART adalah menguruskan air banjir manakala fungsi satu lagi iaitu bagi kegunaan kenderaan menjadi keutamaan kedua.

SMART yang beroperasi sepenuhnya pada Julai 2007 (dibuka kepada lalu lintas dua bulan lebih awal), memikul peranan mengurangkan banjir di pusat bandar raya Kuala Lumpur iaitu bagi kawasan di sekitar Sungai Klang termasuk sekitar Masjid Jamek, Jalan Tun Perak dan Kampung Baru, ekoran limpahan air sungai tersebut. Bagi lalu lintas, ia memberi laluan alternatif kepada kenderaan di antara bulatan Kampung Pandan dan Lebuh Raya KL-Seremban, berdekatan Stesen Udara Sungai Besi, sekaligus mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya bagi kawasan berkenaan dan jalan-jalan yang mempunyai rangkaian langsung dengannya.

Kerja-kerja berkaitan pengesanan banjir dan penyelenggaraan kesemua komponen air larian hujan dalam sistem SMART menjadi tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) manakala operasi terowong trafik sejauh 3km itu di bawah tanggungjawab syarikat konsesi, SMABT, yang berkomunikasi rapat dengan JPS.

Sedar atau tidak, khususnya bagi warga Kuala Lumpur dan sekitarnya, tiada banjir berlaku di kawasan-kawasan sasaran SMART sejak ia dibuka iaitu Julai tahun lepas. Yang pasti, mungkin tidak ramai yang melihatnya sebagai kesan positif daripada kewujudan SMART. Para peniaga dan orang ramai yang mempunyai kepentingan langsung di kawasan yang sering banjir akibat limpahan air Sungai Klang pasti menyedarinya. Selain tidak lagi menghadapi kesukaran, harta benda mereka juga tidak lagi ditengelami banjir.

Bagi mengelakkan banjir, secara mudah, sebahagian air dari hulu Sungai Klang dilencongkan ke Kolam Takungan Kampung Berembang di Ampang dan apabila perlu ia dilepaskan ke Kolah Takungan di Taman Desa, iaitu di hujung terowong.

Di sebalik keselesaan yang 'turut disumbangkan' oleh SMART itu, rekod JPS sebenarnya menunjukkan peningkatan banjir besar di Kuala Lumpur khususnya kawasan terbabit sejak 70-an hinggalah SMART beroperasi. Mengikut rekod Kuala Lumpur mengalami banjir besar sekali dalam 70-an iaitu pada tahun 1971. Keadaan menjadi semakin buruk pada 80-an apabila tiga kali banjir besar berlaku - 1982, 86 dan 88. Pada 90-an berlaku empat banjir besar iaitu pada 1993, 95, 96 dan 97. Banjir besar di Kuala Lumpur semakin kerap selepas 90-an; berlaku pada 2000, 2001 (dua kali), 2003, 2006 dan pada Jun 2007, beberapa minggu sebelum SMART beroperasi sepenuhnya.

Berdasarkan statistik JPS, SMART telah melencongkan air banjir dari hulu Sungai Klang ke kolam di Berembang lebih 40 kali sejak ia beroperasi. Dalam tempoh tersebut sekurang-kurangnya empat kali hujan lebat berlaku dan SMART telah 'menafikan' bandar raya Kuala Lumpur daripada banjir.

Sudah tentu ketika keadaan mendesak keutamaan terpaksa diberikan kepada air banjir, SMART terpaksa ditutup untuk lalu lintas. Sudah tentu, lalu lintas di kawasan terbabit akan menjadi kalut tetapi itulah realitinya - keutamaan SMART adalah bagi menguruskan air banjir! Dan, dalam keadaan itu sebenarnya mereka yang mempunyai kepentingan di ibu negara semacam 'ada jaminan' tidak akan berlaku banjir.

Dalam mengukur kejayaan SMART berhubung fungsi utamanya itu, Ketua Pengarah JPS, Datuk Ir. Ahmad Husaini Sulaiman berkata, kejayaannya dari mengelakkan banjir tidak nampak' sebab tiada apa-apa berlaku (tiada banjir)... Benar kata Ketua Pengarah JPS itu kerana tiada banjir bermakna tiada kenderaan yang terperangkap, tiada harta benda yang musnah dan tiada perkhidmatan pengangkutan awam yang tergendala, Jadi tiada apa-apa kesan buruk kerana banjir dapat dielakkan, melainkan kesesakan kerana terowong ditutup kepada lalu lintas apabila keadaan memerlukan.Maknanya, suasana normal tanpa banjir walaupun hujan lebat mengalirkan air ke Sungai Klang, merujuk kepada kejayaan SMART.

Sebenarnya SMART adalah sebahagian sahaja daripada langkah JPS untuk mengelakkan banjir di ibu negara. JPS sebenarnya hampir menyiapkan dua takungan air banjir melibatkan kos RM800 juta iaitu Kolam Takungan Batu (bagi lencongan air Sungai Gombak) dan Kolam Takungan Jinjang (bagi lencongan air Sungai Keroh dan takungan air Sungai Jinjang); yang kesemuanya mengalir ke pusat bandar raya.

Jika diteliti, konsep SMART mahupun konsep dua lagi kolam takungan yang sedang disiapkan itu, adalah tidak keterlaluan kalau dikatakan ia sebagai pembetulan kepada kesalahan kita terhadap alam khususnya di Lembah Klang. Pembinaan kolam-kolam takungan merupakan alternatif dalam memperlahan alir air hujan di sekitar Kuala Lumpur. Ia juga sebagai pembetulan kepada dasar sungai yang merentasi ibu negara yang sudah tohor akibat daripada keladak, hasil pembangunan pesat kawasan termasuklah penarahan kawasan. Hutan hujan tropika yang selama ini menyekat larian air daripada terlalu laju, sudah tiada. Akibat pembangunan juga, kadar serapan air hujan oleh permukaan bumi khususnya di Kuala Lumpur dan sekitar terlalu rendah, dan ia turut menyumbang kepada konsep larian air yang tidak lagi 'semula jadi'. Larian air hujan menjadi terlalu laju dan pada masa kehilangan air akibat serapan amat sedikit. Pakar geografi, Prof. Dr. Sham Sani sudah lama mengupas mengenai konsep larian air di Lembah Klang dan masalah yang ditinggalkan oleh pembangunan pesat kawasan itu.

Apakah pengalaman Kuala Lumpur dalam menangani banjir akan diikuti oleh bandar bandar lain di negara kita yang sedang berkembang pesat pembangunan? Apakah bandar-bandar lain juga nanti memerlukan sistem yang serupa bagi menangani ancaman banjir, meskipun sekadar banjir kilat? Apakah kita perlu membayar harga yang cukup tinggi untuk kerja-kerja pembetulan setelah kita merosakkan ekosistem kawasan yang kita diami?

Benar, SMART dan segala macam sistem yang mengarah kepada fungsi yang sama kelihatan cukup berkesan sehingga mengembalikan wajah Kuala Lumpur yang 'cantik, bersih tanpa banjir' tetapi belajarkah kita semua daripada apa kesilapan yang kita telah lakukan terhadap alam?

 

EKSA

 

Statistik Mod 2020

Mod 2B: 21

Mod 2: 21

Mod 3: 5

Mod 4: 1

Jumlah Mod :48

7 Oktober 2020

 

Statistik Pelawat

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari ini12
mod_vvisit_counterSemalam259
mod_vvisit_counterMinggu ini789
mod_vvisit_counterMinggu lepas674
mod_vvisit_counterBulan ini2286
mod_vvisit_counterBulan lepas2904
mod_vvisit_counterKesemua hari2105556

We have: 4 guests, 1 bots online
IP anda: 3.21.248.119
Mozilla 5.0, 
Hari ini: Apr 20, 2024
Free Joomla 1.5 Templates by JoomlaShine.com