59 Tan Sampah Masuk Sungai Klang

  • Cetak

Kuala Lumpur: Segelintir penduduk di sekitar sungai di Lembah Klang masih mengamalkan mentaliti kelas ketiga dengan sesuka hati mencampakkan beg sampah ke dalam sungai.

Tinjauan Harian Metro di kawasan setinggan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Pasir Baru mendapati masih banyak longgokan sampah tersekat di celah batu dalam sungai selain taburan sampah di tempat pejalan kaki.

Penduduk juga mengambil jalan mudah mencampakkan sampah dari kenderaan dengan harapan ia jatuh ke dalam sungai tetapi sampah itu tersangkut di tepi jambatan.

Ketiadaan tong sampah besar berdekatan jambatan mungkin penyumbang kepada pembuangan bungkusan sampah tetapi ia bukan alasan membuangkannya ke dalam sungai kerana tong sampah disediakan di setiap PPR.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala lumpur (JPSWPKL) Nishad Mohamed CJ Mohd Shaffy berkata, 59 tan sampah dikutip sepanjang Sungai Klang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Kerajaan sentiasa cuba mengatasi masalah sampah di dalam sungai malah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berusaha meningkatkan nilai saman dan kompaun yang dibentangkan dalam Parlimen untuk mengingatkan syarikat perindustrian merawat air kumbahan sebelum dilepaskan ke sungai.

“Kami mengalu-alukan orang ramai berkongsi maklumat individu dan syarikat yang melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu, membolehkan kami mengenakan tindakan sewajarnya kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, timbunan sampah di permukaan air menyebabkan banjir kilat di Lembah Klang sekali gus menambah jumlah pencemaran akibat sampah yang tidak dikawal.

“Masyarakat perlu mengubah persepsi kerana air sungai dikitar semula untuk dijadikan minuman seharian. Justeru, tidak harus berlakunya pembuangan sampah ke dalam sungai.

“Ia anugerah yang perlu dipelihara untuk kegunaan hari ini dan masa depan kita semua,” katanya berharap perubahan sikap masyarakat mampu menjadikan sungai di ibu negara sebagai tempat tarikan baru.