Forum Tumpu Isu Jimat Air

  • Cetak

Kuala Lumpur: Isu membabitkan penjimatan air, teknologi hijau dan tenaga solar menjadi tumpuan utama peserta pada Forum dan Ekspo Asia Water 2018 (ASIAWATER 2018) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, bermula 10 hingga 12 April depan.

Pengarah Pembangunan Perniagaan Serantau United Business Media (UBM) ASEAN Eliane Van Doorn berkata, program kali ke-10 itu dengan tema Perkongsian Untuk Pertumbuhan Dan Masa Depan Yang Mampan bertujuan mewujudkan kesedaran dalam penjimatan air bagi mengelak masalah pembaziran air yang tinggi.

“Penganjuran forum ini bakal mengupas tiga topik lain iaitu sumber air berkhasiat dan mampan, perkongsian masa depan air serta dasar tadbir sumber air yang turut dibincangkan dalam forum disertai peserta dari negara ASEAN,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke loji rawatan kumbahan Balai Rawatan Kumbahan Daerah Pantai 2 (RSTP), di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Dr Tan Yew Chong, Penasihat ASIAWATER Datuk Teo Yen Hua dan Ketua Pegawai Operasi Indah Water Konsortium Sdn Bhd Mohamed Haniffa Abdul Hamid.

Sumber : Harian Metro, 19 Januari 2018