HomeNews Archive2007Cepatkan tebatan banjir – PM
  • PDF
  • Print

Utusan Malaysia, 12/06/2007

Cepatkan tebatan banjir – PM

KUALA LUMPUR 11 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengarahkan semua projek tebatan banjir di ibu kota diberi keutamaan dan dipercepatkan bagi mencegah berlakunya banjir kilat.

Beliau yang memperoleh maklumat mengenai banjir daripada akhbar telah mengambil keputusan turun padang untuk meninjau keadaan sebenar.

Abdullah yang kurang senang terhadap masalah banjir dengan tegas menegur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya mengarahkan kontraktor menyiapkan projek tebatan banjir lebih awal daripada jadual.

‘‘Saya minta percepatkan sebab banjir tiada musim. Pada 3 Jun lalu dah banjir, semalam banjir lagi. Sampai bila?

‘‘Semua projek tebatan banjir, dalamkan sungai, bina kolam takungan mesti dipercepatkan... kena gerakan semua sumber. Kena bagi keutamaan,’’ tegas beliau.

Perdana Menteri ketika menghadiri Taklimat Mengenai Persediaan dan Pengurusan DBKL hari ini berkata, semua pihak perlu serius memastikan projek pembangunan dan tebatan banjir disiapkan lebih awal.

Taklimat tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Abu Seman Yusop di Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasaan DBKL, di Jalan Tun Razak di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique kini berada di London dan pulang ke tanah air pada pukul 6 petang ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ab. Hakim Borhan.

Sesi taklimat selama setengah jam itu menyaksikan Abdullah mahukan jawapan mengapa banjir boleh berlaku dan semakin teruk malam semalam.

Abu Seman berkata, taburan hujan semalam mencecah 720 milimeter (mm) hingga menyebabkan lebih banyak kawasan mengalami banjir berbanding 453mm pada 3 Jun lalu.

‘‘Ya... saya tahu, saya baca akhbar,’’ tegas Abdullah.

Abu Seman memberitahu, sebanyak 89 keluarga dipindahkan malam semalam dan mereka telah kembali ke kediaman masing-masing pada awal pagi.

Dalam hal ini Abdullah berkata: ‘‘Bukan sahaja banjir yang besar, tetapi kawasan banjir semakin luas.’’

Perdana Menteri juga diberitahu mengenai beberapa kawasan yang mengalami banjir termasuklah Dataran Merdeka hingga kawasan meletak kereta bawah tanah ditakungi air.

‘‘Tempat meletak kereta dah jadi kolam. Jika tiada tempat meletak kereta itu macam mana? Itu yang saya mahu tahu,’’ tegas Abdullah.

Beliau juga mahukan projek lencongan aliran sungai ke kolam takungan termasuk melalui Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) dan pelebaran membabitkan Sungai Klang, Sungai Gombak dan Sungai Kerayong oleh JPS serta DBKL, disiapkan lebih cepat daripada jadual kerana banjir boleh berlaku pada bila-bila masa.

Apabila dimaklumkan projek SMART boleh mencegah berlakunya banjir kilat besar seperti semalam, Perdana Menteri berkata:‘‘Bolehkah awak percepatkannya?’’

Perdana Menteri juga menunjukkan reaksi kecewa kerana selain limpahan air sungai seperti dimaklumkan Abu Seman, banjir juga berpunca daripada sampah sarap yang menyekat aliran sungai.

‘‘Itu faktor manusia,’’ kata Perdana Menteri.

Beliau menambah, walaupun sesuatu projek itu dilaksanakan mengikut jadual, namun usaha perlu dicari supaya ia dapat disiapkan lebih awal.

Malah, Perdana Menteri juga mahukan sebarang projek tebatan banjir yang lewat, diperiksa semula sama ada berpunca daripada kontraktor ataupun berlaku kelewatan daripada jadual asal.

‘‘Periksa kontraktor, kenapa projek lewat. Adakah disebabkan kontraktor atau jadual. Suruh mereka (kontraktor) percepatkan,’’ tambahnya.

Kebimbangan Perdana Menteri terhadap banjir kilat yang melanda ibu kota semalam telah menyebabkan beliau bergegas ke bilik gerakan tersebut selepas menyampaikan Ucaptama Perasmian Persidangan Tahunan Minyak dan Gas Asia Ke-12 (AOGC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Menurut Abu Seman, satu pasukan petugas khas akan dibentuk bagi memastikan semua projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan sekarang dipercepatkan tarikh siapnya.

‘‘Kita akan cuba sedaya upaya untuk percepatkan. Perdana Menteri sangat prihatin dengan masalah banjir ini sebab itu beliau datang sendiri mendengar taklimat ini,’’ jelasnya.

Beliau memberitahu, kerajaan memang memahami kekecewaan yang dirasai oleh masyarakat terhadap masalah banjir kilat dan keutamaan akan diberikan bagi mempercepatkan semua projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan.

Katanya, terowong pengaliran air SMART sepanjang 10 kilometer dijangka siap akhir bulan ini dan dijadual beroperasi bulan depan.

DBKL juga, menurut Abu Seman, sudah melaksanakan sistem amaran banjir kilat di kawasan berisiko supaya orang ramai dapat menyelamatkan diri lebih awal.

‘‘Kita sudah laksanakan (sistem amaran) semalam. Ia berupa siren yang dibunyikan sejam lebih awal daripada jangkaan,’’ katanya.

Malah, DBKL sendiri meningkatkan persediaan bilik gerakan banjirnya yang mempunyai kekuatan 337 anggota.

 

EKSA

 

Statistik Mod 2020

Mod 2B: 21

Mod 2: 21

Mod 3: 5

Mod 4: 1

Jumlah Mod :48

7 Oktober 2020

 

Statistics of Visitor

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday135
mod_vvisit_counterYesterday233
mod_vvisit_counterThis week974
mod_vvisit_counterLast week930
mod_vvisit_counterThis month3401
mod_vvisit_counterLast month2904
mod_vvisit_counterAll days2106671

We have: 4 guests online
Your IP: 18.118.120.204
Mozilla 5.0, 
Today: Apr 27, 2024
Free Joomla 1.5 Templates by JoomlaShine.com