HomeNews Archive2009Banjir Kilat Di Kuala Lumpur Mulai Reda, Terkawal - Bomba
  • PDF
  • Print

Bernama, 4 Mac 2009

Banjir Kilat Di Kuala Lumpur Mulai Reda, Terkawal - Bomba


KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Banjir yang berlaku sejak petang semalam di beberapa lokasi di ibu negara mulai reda, kata Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail, hari ini.

Azizan yang dihubungi Bernama berkata laporan yang diterima menunjukkan tiada lagi kawasan yang dinaiki air termasuk yang terjejas teruk akibat hujan lebat semalam.

"Paras air di beberapa kawasan dilaporkan semakin surut. Bagaimanapun, pasukan bomba tetap dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Antara kawasan yang dilaporkan terjejas semalam adalah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), jalan-jalan utama di sekitar ibu kota seperti Jalan Ipoh, Jalan Tun Ismail, Jalan Rahmat, Jalan Sentul, Jalan Kasipillay dan Jalan Duta yang mengalami kesesakan lalu lintas teruk.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) pula menyifatkan pembinaan terowong Smart telah mencapai objektifnya apabila berjaya menyelamatkan beberapa kawasan berisiko banjir seperti sekitar Jalan Tun Perak daripada dilanda banjir limpahan Sungai Klang.

Sistem Pengesanan Banjir (FDS) di Pusat Kawalan Smart (SCC) dalam satu kenyataan berkata Smart berjaya melencongkan sejumlah 700,000 meter padu air ke Kolam Takungan Berembang bagi mengawal aliran air Sungai Klang di pusat bandar raya Kuala Lumpur.

Bacaan paras air tertinggi Sungai Klang di jambatan Tun Perak mencecah sehingga 29.90 meter pada pukul 5.51 petang dan ia berjaya dikekalkan di bawah paras 30.0 meter dengan kawalan rapi petugas JPS melalui Sistem Kawalan Banjir Terowong Smart dari Pusat Kawalan SCC.

Menurut kenyataan itu, langkah itu bertujuan menyelamatkan kawasan-kawasan tumpuan di pusat bandar raya seperti Jalan Masjid India, Kampung Baru, Jalan Tun Razak dan Jalan Tuanku Abdul Rahman daripada limpahan banjir Sungai Klang.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula berkata hujan yang amat lebat petang semalam dengan intensiti yang amat tinggi iaitu 468mm menyebabkan banyak kawasan rendah di ibu negara mengalami banjir.

"Intensiti hujan yang tinggi adalah dari pukul 4.15 petang hingga 5.30 petang selama 1 jam 15 minit, dengan curahan sebanyak 385.5mm. Kawasan tadahan Batu dan Gombak mengalami intensiti hujan yang amat tinggi hingga menyebabkan limpahan air sungai di Sungai Batu, Sungai Keroh dan Sungai Gombak," kata kenyataan DBKL hari ini.

DBKL berkata antara langkah penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah itu adalah dengan membina tiga kolam takungan banjir di Segambut Bahagia dan pembinaan tujuh projek tebatan banjir di bawah Program Tebatan Banjir di kawasan-kawasan yang kerap dilanda banjir serta menaik taraf sistem perparitan induk sedia ada (projek dijangka siap pada awal tahun 2010).

"Impak projek jangka panjang bagi pembinaan terowong Smart telah menyelamatkan banjir daripada berlaku di pusat bandar terutama di kawasan Masjid India dan Jalan Melaka," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa masyarakat agar meletakkan wakil rakyat mereka sebagai bertanggungjawab terhadap bencana itu.

"Hanya jika wakil rakyat bersikap proaktif dan memastikan bahawa agensi yang berkaitan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sewajarnya, situasi seperti itu tidak akan berlaku," kata Setiausaha Agung Fomca Muhammad Shaani Abdullah.

Muhammad Shaani berkata sudah menjadi kelaziman apabila selepas banjir kilat seperti ini berlaku, tuduh menuduh akan bermula -- DBKL akan menuding jari kepada JPS yang kemudiannya menyalahkan pemaju kerana kelodak yang memenuhi muara Sungai Klang.

"Perkara seperti ini mesti dihentikan dan rakyat sendiri perlu mendesak wakil rakyat mereka supaya memohon peruntukan yang cukup bagi memastikan kerja-kerja tebatan banjir dilaksanakan segera agar insiden seperti itu tidak berulang," katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar PWTC dan Plaza Pekeliling hari ini mendapati pemilik kedai yang terjejas akibat banjir teruk semalam, bertungkus-lumus membersihkan kedai mereka.

-- BERNAMA

 

EKSA

 

Statistik Mod 2020

Mod 2B: 21

Mod 2: 21

Mod 3: 5

Mod 4: 1

Jumlah Mod :48

7 Oktober 2020

 

Statistics of Visitor

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterToday70
mod_vvisit_counterYesterday92
mod_vvisit_counterThis week209
mod_vvisit_counterLast week478
mod_vvisit_counterThis month1426
mod_vvisit_counterLast month3480
mod_vvisit_counterAll days2101792

We have: 4 guests, 1 bots online
Your IP: 54.221.159.188
 , 
Today: Mar 19, 2024
Free Joomla 1.5 Templates by JoomlaShine.com